Rundingan, perbincangan untuk tingkat kualiti pendidikan - Maszlee

Astro Awani
Oktober 21, 2018 18:50 MYT
Maszlee selepas mempengerusikan majlis bertemu wakil Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) dan Civil Society Organisations (CSO) for Education Reform di Putrajaya.
Kementerian Pendidikan akan meneruskan pendekatan perundingan dan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi menghimpunkan pandangan dan input yang terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
Menterinya Maszlee Malik berkata pendekatan itu akan diteruskan tanpa mengira latar belakang.
"Dengan mengadakan perbincangan bersama, kita boleh mencapai satu kata putus.
"Memang ada kemungkinan kita tidak boleh menerima kesemua pandangan, tetapi sekurang-kurangnya kita mendengar suara mereka," katanya yang mempengerusikan majlis bertemu wakil Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) dan Civil Society Organisations (CSO) for Education Reform di Putrajaya pada Ahad.
"Kita akan terus mengadakan perbincangan dengan semua pihak. Ini termasuk badan-badan politik. Semua orang ada peranan untuk melihat negara kita memiliki satu sistem pendidikan yang holistik demi kepentingan rakyat dan negara," katanya lagi.
Lebih 30 wakil hadir pada sesi pertemuan pada Ahad, di mana mereka mengemukakan pelbagai isu dan syor kepada kementerian.
Ini termasuklah keperluan pengajaran dan pembelajaran pendidikan sekolah rendah dan menengah yang berkualiti, dan disediakan secara percuma, menambah bekalan guru yang layak, menghapuskan diskriminasi dalam pendidikan negara, dan akses yang saksama bagi mendapatkan pendidikan prasekolah yang berkualiti.
Turut dibangkitkan pendidikan vokasional, teknikal dan tinggi yang saksama kepada semua, dan kepimpinan dalam institusi pendidikan.
Antara yang hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.
#Dr Maszlee Malik #Kementerian Pendidikan #Kualiti Sistem Pendidikan Malaysia #Pendekatan Bottom Up #Perundingan Pendidikan
;