Rundingan memuktamadkan RCEP dijangka selesai akhir 2017
Hafiz Marzukhi
Ogos 10, 2017 12:25 MYT
Ogos 10, 2017 12:25 MYT
Malaysia komited dalam meneruskan rundingan Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang melibatkan 16 negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata proses rundingan tersebut dijangka selesai menjelang akhir tahun ini atau separuh pertama tahun hadapan.
"Kita mempunyai FTA (Rundingan Perdagangan Bebas) dengan beberapa negara dan kita ingin mengukuhkan hubungan dagangan ini," kata beliau.
Mustapa berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Mustapa turut menyatakan keyakinan bahawa rundingan bagi RCEP akan berjalan tanpa pengunduran mana-mana 'kuasa besar'.
"Jika kita lihat apa yang berlaku kepada TPPA (Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik), di mana kita tidak tahu hala tujunya berikutan pengunduran Amerika Syarikat.
"Saya yakin perkara yang sama tidak akan berlaku kepada RCEP memandangkan negara-negara yang terlibat sudah menyatakan komitmen penuh untuk berada di dalam rundingan ini," kata Mustapa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berhubung kemungkinan pengunduran 'negara besar' dan impaknya ke atas rundingan.