Rundingan keamanan Thai bakal berlangsung di KL
Astro Awani
Mac 26, 2013 07:37 MYT
Mac 26, 2013 07:37 MYT
Siri pertama rundingan ke arah mengembalikan keamanan di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand akan berlangsung di Kuala Lumpur 28 Mac ini.
Rundingan membabitkan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan kerajaan Thailand yang berpusat di Bangkok.
Manakala Malaysia bertindak sebagai penyelaras siri rundingan itu.
Rundingan pada 28 Mac nanti merupakan susulan daripada kejayaan merintis jalan damai menerusi persetujuan yang dimeterai di Pulapol Kuala Lumpur bulan lepas.
Laporan Bangkok Post menyebut 15 wakil kerajaan Thai terlibat dalam siri rundingan berkenaan.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Leftenan Jeneral Paradorn Pattanathabut memaklumkan perwakilan kerajaan terdiri daripada ahli akademik pemimpin-pemimpin agama dan wakil penduduk selatan Thai.
Paradorn pula mengetuai Bangkok sekali gus bertanggungjawab melaporkan sebarang perkembangan kepada Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengenainya.
Sebelum ini kerajaan Thailand menyuarakan hasrat supaya Malaysia bertindak sebagai perantara untuk mengembalikan kedamaian di Narathiwat, Yala dan Pattani.
Lebih 6,000 nyawa melayang sejak putaran keganasan tidak surut angkara sentimen pemisah bermula pada 2004.
Usaha beberapa Perdana Menteri Thai membawa kedamaian di selatan negara itu sehingga kini menemui kegagalan.