Rundingan dengan negara tempat Jho Low sembunyi perlu cermat - KPN

Firdaus Azil
Julai 7, 2019 18:12 MYT
Abdul Hamid berkata, ia sangat penting bagi mengelakkan pihak berkuasa negara berkenaan melihat seolah-olah Malaysia cuba menekan mereka. - Gambar fail
Pihak polis masih sedang berunding pihak berkuasa negara dipercayai tempat Low Taek Jho, atau Jho Low, sedang menyembunyikan diri, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Namun, jelas beliau, rundingan itu harus dijalankan dengan penuh cermat dan berhati-hati dalam usaha membawa balik suspek utama penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.
Abdul Hamid berkata, ia sangat penting bagi mengelakkan pihak berkuasa negara berkenaan melihat seolah-olah Malaysia cuba menekan mereka.
“Dalam usaha untuk polis membawa dia (Jho Low), ia (rundingan) itu delicate, perlu dilakukan dengan cermat supaya tak silap langkah. Ini penting supaya pihak berkuasa tempat dia sembunyi tak rasa kita nak menekan mereka.
“Rundingan sedang berjalan, dan saya rasa negara itu faham tentang keperluan rundingan tersebut,” katanya kepada sidang media sewaktu Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Abdul Hamid Bador #Jho Low #Ketua Polis Negara #Low Taek Jho #Polis Diraja Malaysia
;