Rundingan damai: Malaysia ikrar bantu Thailand

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 24, 2018 23:49 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) berjabat tangan dengan Jeneral Prayut Chan-o-cha ketika mengadakan sidang media bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Rumah Kerajaan hari ini. - Foto Jabatan Penerangan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjanjikan bantuan daripada Malaysia dalam "apa cara sekalipun" kepada Thailand untuk menamatkan isu keganasan di wilayah selatan negara itu.
Beliau berkata, konflik di selatan Thailand dilihat sebagai peluang bagi kedua-dua negara untuk memperjuangkan persahabatan antara satu sama lain.
“Kami berikrar dalam apa juga cara untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.
“Saya pasti, dengan kekuatan yang kita ada dalam bersama menyelesaikan masalah ini, kami ikhlas menangani dan menyelesaikan masalah ini secara bersama,” ujar beliau dalam sidang media bersama rakan sejawatnya, Prayut Chan-o-cha di sini hari ini.
Kedua-dua pemimpin sebelum itu mengadakan mesyuarat dua hala dengan membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.
Malaysia merupakan fasilitator dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani, yang merupakan gerakan puak pemisah di selatan negara itu.
#Mahathir Mohamad #Majlis Syura Patani #Malaysia #Perdana Menteri #Prayut Chan-O-Cha #rundingan damai #selatan thailand #Thailand
;