Rundingan damai Filipina: Malaysia tidak lagi hantar fasilitator

Tan Su Lin
November 10, 2016 23:01 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi Presiden Filipina, Rodrigo Rao Duterte selepas pertemuan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan Malaysia tidak lagi akan menghantar fasilitator Malaysia dalam rundingan damai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia berikutan proses perdamaian berkenaan yang kini telah memasuki fasa pemantauan dan bukan lagi fasa rundingan.
Bagaimanapun, Malaysia akan terus menghantar satu pasukan khas bagi memantau fasa berkenaan.
"Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menghargai peranan dimainkan Malaysia dan berharap kerajaan akan terus membantu dari segi pemantauan dan saya telah bersetuju agar pasukan pemantau dari Malaysia dihantar ke sana."
"Bagaimanapun, kerajaan Filipina memaklumkan bahawa mereka tidak lagi memerlukan seorang fasilitator dari Malaysia, jadi kita tidak lagi akan menghantar fasilitator sebab proses perdamaian di Selatan Filipina kini memasuki fasa pemantauan dan bukan lagi fasa rundingan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat delegasi Malaysia-Filipina di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Sejak 2001, Malaysia mula terlibat dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan MILF bagi membantu menyelesaikan konflik di selatan Filipina yang berlarutan sejak lebih empat dekad lalu.
Fasilitator Malaysia dalam rundingan damai berkenaan, Tengku Datuk Ab Ghafar Tengku Mohamed bagaimanapun telah meninggal dunia pada 2 Sept lalu.
#fasilitator #Filipina #Islam Moro #Malaysia #MILF #Najib Tun Razak #Rodrigo Duterte
;