Rundingan Damai Baling: 'Chin Peng langsung tak usik makanan'

Sinar Harian
September 10, 2018 13:38 MYT
Pak Lang menunjukkan laluan digunakan Chin Peng, Chen Tien dan Rashid untuk ke bilik rundingan. -Foto Sinar Harian
“Sampai sekarang Pak Lang pelik kenapa Chin Peng dan dua lagi orang kanannya tak usik makanan disediakan," katanya.
Kata, Jaafar Ismail, 93, yang merupakan individu terlibat secara langsung di sebalik Rundingan Damai Baling ketika masih berusia 25 tahun.
Rundingan berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Disember 1955 di Sekolah Inggeris Baling kini dikenali Sekolah Kebangsaan Tunku Putra.
Selain wakil kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM), Jaafar atau mesra dipanggil Pak Lang satu-satunya kakitangan sekolah dibenarkan masuk dalam kawasan rundingan.
Pada hari bersejarah itu, semua ketua-ketua jabatan kerajaan di Baling tidak dibenarkan sama sekali berada dalam kawasan berkenaan.
Menceritakan pengalamannya ketika itu, Pak Lang berkata, dia hanya seorang tukang kebun yang bekerja di sekolah tersebut sejak 1952.
Menurutnya, atas arahan guru besar, dia ditugaskan menyediakan kemudahan rundingan termasuk keperluan asas PKM.
"Tetapi sebelum rundingan bermula, guru besar iaitu Allahyarham Hj Abas Ismail arahkan Pak Lang sediakan bilik rundingan.
"Tiga kelas dibuka menjadi bilik rundingan. Meja dan kerusi semuanya Pak Lang susun.
"Tiga bilik kelas itu masih lagi pada bentuk asal seperti dulu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seberang Pekan semalam.
Tambahnya, rundingan berlangsung bermula jam 8 pagi dan tamat pada 2 petang.
Selain itu katanya, tugas lain perlu dilaksanakan ialah menyediakan makan minum serta bilik tidur wakil PKM.
"Guru besar juga mahu kawasan sekolah tiada langsung sampah," katanya.
Disoal tentera British
Menurutnya, rumah guru berada dalam kawasan sekolah dijadikan bilik penginapan PKM.
"Makan minum untuk PKM disediakan dalam bilik penginapan," katanya.
Hingga kini katanya, dia masih tertanya-tanya mengapa tiga wakil PKM berkenaan tidak menyentuh makan dan minum disediakannya.
"Semua bahan makanan dan minuman seperti beras, kopi, gula dan teh telah disediakan dalam paket. Pak Lang cuma sediakan, depa yang kena bancuh sendiri.
"Tetapi semua makanan dan minuman itu langsung tak diusik. Pak Lang pun tak tahu apa yang depa makan dan minum selama dua hari itu," katanya.
Pak Lang berkata, dalam rundingan itu, wakil kerajaan dihadiri Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman; Ketua Menteri Singapura, David Marshall; Abdul Hamid Jumat, Dato' Sir Tan Cheng Lock, Too Joon Heng, T H Tan, Syed Jaafar Albar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Yaacob Latif dan Setiausaha Peribadi Tunku Abdul Rahman, Safie Abdullah.
"Di pihak komunis, Chin Peng ditemani Rashid Mydin dan Chen Tien," katanya.
Dek kehairanan mengapa seorang tukang kebun boleh berada dalam kawasan sekolah, Pak Lang pernah disoal Pegawai Tertinggi Tentera British.
"Bila dijelaskan, baru pegawai itu faham. Kemudian beliau terus siapkan kad kebenaran masuk untuk Pak Lang," katanya.
Pak Lang berkata, tiga ahli komunis itu tiba lebih awal sebelum rundingan hari pertama bermula.
"Depa diiringi pasukan keselamatan kita dari Gunung Paku, Perak dan tiba sebelum pukul 8 pagi," katanya.
Katanya, lokasi sebenar tempat penginapan tiga wakil PKM itu tidak diketahui.
Rundingan berjalan lancar
Pak Lang berkata, tiga wakil PKM itu juga memberikan kerjasama baik kepada kerajaan ketika rundingan.
"Rundingan berjalan lancar walaupun keputusan sepakat tidak dapat dicapai.
"Antara tuntutan Pak Lang ingat, komunis mahu kerajaan iktiraf depa.
"Selain itu Chin Peng juga minta komunis bebas bawa senjata ke mana-mana. Tapi kerajaan tak tunduk," katanya.
Katanya, Baling dipilih sebagai kawasan rundingan oleh komunis kerana daerah ini dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand.
Berkebolehan tutur lima bahasa
Bapa kepada tujuh anak itu turut berkongsi kebolehan berkomunikasi dalam lima bahasa.
Menurutnya, selain bahasa ibunda, dia dapat menguasai Bahasa Jepun, Cina, Siam dan Inggeris.
"Pak Lang tak pernah belajar di sekolah Inggeris, tapi boleh cakap dalam bahasa tu atas sebab jadi tukang kebun.
"Setiap hari guru-guru dan budak sekolah cakap dalam Bahasa Inggeris termasuk dengan Pak Lang. Lama-lama kita boleh faham sendiri," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan dan Setiausaha Kehormat Perkeba, Mohd Nazry Bidin hadir menziarahi Jaafar.
#Abas Ismail #Chin Peng #Jaafar Ismail #Parti Komunis Malaya #Sekolah Kebangsaan Tunku Putra #tukang kebun
;