Rundingan berkaitan petroleum dan gas di Sabah signifikan dalam konteks MA63

Bernama
November 29, 2020 23:33 MYT
Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar berkata apa jua yang bakal dimeterai di dalam rundingan itu nanti akan memberikan impak positif berskala besar dalam melonjakkan lagi industri petroleum dan gas di Sabah. - Bernama
SANDAKAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yakin komitmen dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memulakan rundingan berkaitan petroleum dan gas di negeri itu adalah satu gerakan signifikan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar berkata apa jua yang bakal dimeterai di dalam rundingan itu nanti akan memberikan impak positif berskala besar dalam melonjakkan lagi industri petroleum dan gas di Sabah.
"Lonjakan menerusi industri ini secara langsung turut memberi kemakmuran daripada pelbagai sudut, sama ada ekonomi atau sosial, ia mampu menjamin kemakmuran rakyat negeri ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Khairul Firdaus berkata dalam Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga yang berlangsung semalam telah berikrar akan melaksanakan rundingan itu secepat mungkin untuk kebaikan rakyat di Sabah dan sebagai tanda terima kasih atas sokongan kepada Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
"Dengan ikrar tersebut, ia jelas menggambarkan hubungan akrab antara kerajaan negeri di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan pusat," katanya.
Khairul Firdaus berkata Bersatu Sabah turut mengagumi kesungguhan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dalam memperjuangkan perkara itu ketika mencadangkan usul menyokong ucapan dasar Presiden Bersatu bersempena perhimpunan agung itu yang dilangsungkan secara maya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.
-- BERNAMA
#Perjanjian Malaysia 1963 #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #ekonomi #petroleum #gas #kerajaan #PPBM #GERAKAN #Ketua Menteri #Khairul Firdaus Akbar
;