Rundingan air mentah: Malaysia nyata pendirian kepada Singapura
Harits Asyraf Hasnan
November 12, 2018 18:31 MYT
November 12, 2018 18:31 MYT
Jual beli harga air mentah menjadi antara isu yang dibincangkan antara Malaysia dan Singapura.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu tersebut pada pertemuan bersama rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong di The Istana hari ini.
"Kami membangkitkan isu-isu yang sebelum ini dilihat sebagai kontroversial. Saya telah menyatakan pendirian berkenaan perkara itu dan beliau (Hsien Loong) dilihat agak terbuka dan bertolak ansur dalam perkara ini.
"Saya fikir beliau mendengar pandangan saya dan beliau terbuka untuk berbincang lebih lanjut berkenaan perkara ini," katanya kepada media Malaysia di sini.
Beliau sebelum itu menghadiri majlis minum petang bersama rakyat Malaysia di Singapura selain menjawab beberapa persoalan merentasi pelbagai aspek yang dibangkitkan rakyat Malaysia.
Selain itu, beberapa perkara lain turut dibincangkan dalam pertemuan selama hampir satu jam itu.
Ditanya sama ada Singapura sedia untuk berunding semula, Dr Mahathir berkata Singapura tidak menyatakannya.
"Sekurang-kurangnya mereka sedia untuk menyatakan pandangan mereka dan untuk Malaysia menyatakan pendirian kita," tambahnya.
Dalam temubual bersama Bloomberg pada Jun lalu, Dr Mahathir berkata beliau akan mengkaji semula Perjanjian Air 1962, menjadikannya rundingan kedua yang dinilai selepas penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan Singapura.
Katanya, bekalan air adalah antara isu yang perlu diselesaikan dengan Singapura secara diplomatik di mana republik itu bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.
Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.
Dalam dua siri pertemuan dengan kerajaan sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.
Kerajaan Malaysia mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011, tetapi negara republik itu menolak.
Pada suatu ketika, bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah mengancam untuk menghantar tentera ke Malaysia jika Malaysia cuba memansuhkan perjanjian air itu.