Rumusan mesyuarat tiga pihak dibawa ke peringkat menteri

Bernama
Jun 20, 2016 07:35 MYT
Australia ada memaklumkan mereka memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan kawasan pencarian seluas 120,000 km persegi. - Gambar fail
Rumusan yang dicapai dalam mesyuarat khas tiga pihak peringkat pegawai mengenai MH370 selama dua hari bermula di sini pada Isnin akan dibawa ke mesyuarat tiga pihak peringkat menteri untuk diputuskan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata mesyuarat peringkat menteri itu dijangka diadakan di Malaysia berkemungkinan bulan depan.
"Pencarian kini sudah lebih 90 peratus dan mulanya dijangka berakhir bulan ini. Namun pencarian itu mungkin dilanjutkan kerana keadaan laut sedikit bergelora.
"Australia ada memaklumkan mereka memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan kawasan pencarian seluas 120,000 km persegi," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini pada Isnin.
Mesyuarat khas tiga pihak itu yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan akan berakhir Selasa.
Mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan hala tuju masa depan operasi pencarian MH370 dan mengkaji secara terperinci isu-isu penting termasuk penemuan beberapa serpihan baru-baru ini.
Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman di mesyuarat tersebut.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai usaha pencarian di Lautan Hindi pada awalnya menjangkakan selesai menjalankan pencarian menjelang akhir bulan ini.
MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Penerbangan pesawat malang itu dilaporkan berakhir di selatan Lautan Hindi.
#Ab Aziz Kaprawi #mesyuarat tiga pihak #MH370 #misi SAR #pencarian pesawat
;