'Rumble Strips' ketika selekoh bahayakan penunggang motosikal?

Afiezy Azaman
Januari 13, 2019 05:00 MYT
Jalur bergetar yang dipasang ketika selekoh menyebabkan getaran teruk pada pengendalian bar motosikalnya sehingga menyukarkan dia kendalikan motosikal sekaligus mengundang bahaya kemalangan.
Baru-baru ini tular di laman media sosial mengenai penunggang motosikal yang menyatakan pemasangan jalur bergetar (rumble strips) harus dibuat sebelum selekoh dan bukannya ketika selekoh.
Menurutnya, jalur bergetar yang dipasang ketika selekoh menyebabkan getaran teruk pada ‘pengendalian bar’ motosikalnya sehingga menyukarkan dia kendalikan motosikal, sekaligus mengundang bahaya kemalangan.
Lebih ideal dipasang sebelum selekoh
Astro AWANI menghubungi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi mendapatkan kepastikan sama ada pemasangan jalur bergetar tersebut seharusnya dibuat ketika atau sebelum selekoh.
Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak berkata, pemasangan jalur bergetar itu lebih ideal dipasang sebelum selekoh bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya untuk memperlahankan kenderaan sebelum melalui selekoh berbahaya.
“Sekiranya ‘handle bar’ motosikal mereka bergegar teruk, itu maknanya mereka melalui kawasan selekoh itu melebihi had kelajuan yang ditetapkan dan ini memberi indikator bahawa mereka perlu memperlahankan kenderaan.
“Memang ada kawasan yang dipasang jalur bergetar ketika selekoh, namun ini bukan menyebab kemalangan, nahas hanya berlaku sekiranya kenderaan dipandu laju ketika melalui kawasan itu.
“Sekiranya ia dipasang mengikut spesifikasi, ia mampu memberi amaran awal kepada pengguna tentang bahaya atau halangan yang berada dihadapan dan seterusnya mengelakkan kemalangan daripada berlaku,” katanya.
Statistik kemalangan di selekoh
Secara umumnya, Dr Siti Zaharah berkata kemalangan dikawasan selekoh adalah kira-kira 12% daripada jumlah kemalangan.
“Namun ini adalah bagi keseluruhan selekoh sama ada ada dipasang jalur bergetar atau tidak,” katanya.
Tidak ikut spesifikasi, jalur bergetar boleh undang kemalangan
Dr Siti Zaharah berkata, aspek utama yang perlu dilihat adalah daripada sudut kesesuaian lokasi pemasangan jalur bergetar.
Tambah beliau, sekiranya dipasang pada tempat tidak bersesuaian ia akan menimbulkan kesan negatif seperti risiko kepada penunggang motosikal dan basikal, terutamanya di tempat yang rata.
“Ini adalah kerana terdapat kemungkinan air untuk bertakung diantara jalur-jalur jalur bergetar tersebut. Selain itu, pencemaran bunyi juga akan berlaku terutamanya apabila ianya dipasang di kawasan perumahan.
“Pihak bertanggungjawab juga perlu memastikan penyelenggaraan secara berkala dilakukan untuk memastikan jalur bergetar tersebut berada dalam keadaan yang baik.
“Sekiranya tidak diselenggara dengan baik, jalur bergetar ini boleh terhakis dan menjadikannya licin,” jelas beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata, bahan yang digunakan juga perlu mengikut spesifikasi supaya ia tahan lama, tidak pecah dan meninggalkan butiran.
“Pemasangan juga perlu mengikut dimensi dan kedudukan yang betul dan tidak terlalu tebal. Tebal pada kebiasaannya adalah pada kadar 3-5mm,” jelasnya.
#Dr Siti Zaharah Ishak #jalan raya #Jalur bergetar #MIROS #motosikal #Rumble strips #Selekoh
;