Rumah YDP Majlis Daerah Besut jadi sasaran tembakan

Bernama
Januari 6, 2014 20:35 MYT
Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kapas di sini hari ini.
Ketika kejadian pada 6.15 pagi, Ibrahim Mohamad, 55, bersama isteri dan seorang anak mereka berada di dalam rumah dan mereka terdengar beberapa bunyi letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman mereka.
Kejadian itu hanya disedari pada 8.30 pagi apabila isteri YDP majlis daerah itu keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin keretanya serta menemui serpihan peluru di perkarangan rumah banglo setingkat itu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata wanita berkenaan kemudian menelefon suaminya yang ketika itu berada di pejabat dan memaklumkan mengenai perkara itu.
Polis dapati enam das tembakan dilepaskan iaitu dua terkena pada rumah manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz CLK320 mangsa, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jamshah berkata polis tidak menolak kemungkinan tembakan itu dilepaskan sebagai tanda amaran.
"Mangsa memaklumkan dia tidak mempuyai musuh dan kami tidak menolak kemungkinan kejadian ini bermotifkan rasa tidak senang hati pihak tertentu terhadap tugas mangsa," katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya tembakan dilepaskan dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter dan dilakukan oleh lebih seorang suspek.
Pihak forensik menemui satu kelongsong peluru jenis 9mm Luger Speer di atas jalan di hadapan rumah itu.
#Besut #Majlis Daerah Besut #YDP
;