Rumah Warisan Mahaguru Gayung akan dibina semula - Megat Zulkarnain

Bernama
Disember 24, 2023 05:07 MYT
Sazali (tiga, kiri) memberi taklimat kepada Megat Zulkarnain (dua, kiri) mengenai keadaan rumah usang milik Meor Abdul Rahman pada lawatan di Jalan Air Kuning, Taiping, semalam. -- fotoBERNAMA
TAIPING: Kediaman pengasas Silat Gayung Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim di sini yang usang serta menunggu masa untuk menyembah bumi akan dibina semula.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pembinaan semula rumah lahirnya ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara itu dijangka bermula seawal tahun depan.
Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan bantuan dihulurkan bagi pembinaan semula rumah itu adalah atas kapasiti peribadi dan tidak melibatkan Pesaka.
Beliau juga telah bertemu dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad untuk memaklumkan mengenai usaha membina semula rumah berkenaan, selain berbincang tentang proses dokumentasi antaranya melibatkan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya.
"Saya nak minta pimpinan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Perak untuk cari kontraktor dan kita akan bina semula. Kita nak usahakan balik, membina semula ikut (reka bentuk) asal rumah ini," katanya ketika melawat rumah berkenaan di sini semalam.
Megat Zulkarnain berkata kehadiran beliau memberi bantuan adalah atas sifat sebagai seorang pemimpin dalam persilatan iaitu Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia dan tidak betujuan mencampuri pengurusan serta pentadbiran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
"Tujuan saya untuk menyelesaikan, kemudian kita serahkan balik dan mereka uruskanlah, itu bukan lagi urusan saya (sesudah selesai pembinaan rumah berkenaan)," katanya.
Beliau berkata terdapat juga sejarah serta nilai instrumental di rumah itu apabila ia menjadi lokasi pertemuan ayahnya Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju (Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia) dengan Meor Abdul Rahman.
"Pada awalnya pertemuan itu bagi tujuan lain, akhirnya di rumah ini mereka bersumpah dunia akhirat sebagai adik-beradik sebab lincah (seni silat) bawa semangat Jebat, dan gayung (seni silat) membawa semangat Tuah," katanya.
Pada 20 Dis lepas, Bernama melaporkan rumah itu yang berada di tepi Jalan Ayer Kuning menghala ke jalan utama Changkat Jering di sini sudah usang dan menunggu masa untuk menyembah bumi, selain dikelilingi semak samun dengan tingkap, pintu, dinding dan bumbungnya mereput.
Waris Amanah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Sazali Salleh, 60, yang juga anak angkat mahaguru silat gayung itu berkata mereka pernah berusaha mengumpul dana bagi membaiki dan membaik pulih rumah arwah ayahnya itu namun gagal.
-- BERNAMA
#Silat Gayung Malaysia #Megat Zulkarnain Omardin #rumah pengasas Silat Gayung #Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim
;