Rumah warisan ilhamkan patriotisme Laksamana

Bernama
Ogos 27, 2018 06:06 MYT
Beberapa ekor ayam katik yang mencari makan di perkarangan Rumah Warisan Laksamana menarik perhatian pengunjung ke muzium mini itu di Abi Kampung Tengah, Kangar. --fotoBERNAMA
Kata orang, jika rumah di pinggir sawah di Abi Kampung Tengah itu mampu berkata-kata, ia pasti menceritakan segala peristiwa bersejarah yang berlaku di sekelilingnya sejak lebih 61 tahun lalu.
Antaranya, detik penduduk kampung itu berkongsi semangat rakyat seluruh tanah air menuntut kemerdekaan sehingga negara bebas daripada belenggu penjajah pada 31 Ogos 1957.
Pewaris rumah berkenaan, Laksamana Saad, 41, berkata rumah itu dibina datuknya Allahyarham Mahamood Ismail ketika penyatuan semangat menuntut kemerdekaan oleh rakyat sedang bergelora.
Rumah itu kini tidak lagi berpenghuni selepas Saad Mahamood, 81, yang merupakan generasi kedua yang tinggal di rumah berkenaan berpindah ke rumah Laksamana.
Laksamana yang ditemui Bernama berkata, beliau tidak membiarkan rumah itu begitu sahaja dan mengisi kekosongan itu dengan menjadikannya sebuah muzium mini bagi menyimpan barangan warisan keluarga.
Sedikit demi sedikit barangan lama dikumpulkan sehingga mampu memikat pelawat menziarahi rumah papan itu.
Beliau menggunakan wang gajinya sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkop untuk menyenggara rumah berkenaan dan menambah koleksi muzium mini itu.
Antara koleksi itu termasuklah gantang Perlis, yang diperbuat daripada kayu, dianggarkan berusia 200 tahun, telefon lama, peti suara, majalah lama dan sebuah bilik khas koleksi barangan seniwati Sarimah.
Ini sebagai penghargaannya terhadap Sarimah, malah seniwati tersohor itu yang merasmikan muzium mini yang kini dikenali sebagai Rumah Warisan Laksamana itu, pada 4 November 2012.
Andainya berkunjung ke rumah warisan ini, sudah pasti anda akan mendengar alunan lagu-lagu lama daripada sebuah radio di beranda rumah. Di bahagian bawah rumah, tersimpan juga koleksi barangan lama seperti peti sejuk, skuter lama dan peralatan pertanian.
Di sisi bangunan rumah terdapat sebuah jelapang padi yang suatu ketika dahulu berperanan dalam kegiatan persawahan tradisional. Pada sekitar tahun 50-an hingga akhir 70-an, jelapang padi dimiliki para pesawah tempatan bagi stor penyimpanan padi.
Laksamana yang juga anggota Persatuan Penulis Perlis (3P) berkata, beliau amat sayangkan barangan dengan nilai sejarah bukan sahaja sebagai sejarah peribadi atau keluarga, tetapi sejarah peradaban bangsa.
"Mencintai barangan warisan adalah mencintai sejarah. Menghayati sejarah akan menghulurkan semangat patriotisme. Semangat patriotisme akan melahirkan keikhlasan mencintai negara," katanya.
Mengenai tema hari kebangsaan tahun ini, Laksamana berkata segalanya telah terzahir dalam kegiatannya dan beliau amat menyayangi negara ini.
Beliau berharap orang ramai turut membantunya menambah koleksi rumah warisan itu untuk tatapan generasi kini dan akan datang.
Katanya, beberapa syarikat perfileman pernah menjalankan penggambaran di rumah itu. Begitu juga dengan pihak lain yang menjadikan rumah itu sebagai lokasi kegiatan mereka, dengan sedikit bayaran dikenakan sebagai kos utiliti, pembersihan kawasan dan pengurusan.
-- BERNAMA
#barangan lama #gantang #Hari Kebangsaan #Kangar #Laksamana Saad #muzium mini #patriotisme #peradaban #Perlis #rumah #Rumah Warisan Laksamana #Saad Mahamood #Sarimah #sejarah #Warisan
;