Rumah tumpangan Jepun tak jadi 'ban' rakyat Malaysia

Mariah Ahmad
Ogos 20, 2017 06:43 MYT
Sebuah video tular di media sosial menunjukkan beberapa individu didakwa membuat kecoh di sebuah rumah tumpangan di Jepun. -Foto fail
RUMAH tumpangan Jepun, Vitti Lodge & Family Apartment yang terbabit dalam kekecohan melibatkan tiga pelancong Malaysia pada Khamis membuat keputusan untuk membuka semula tempahan kepada rakyat Malaysia mulai semalam.
Terdahulu, Vitti Lodge & Family Apartment membuat keputusan untuk tidak lagi menerima sebarang tempahan daripada warga Malaysia berikutan tindakan penginap dari negara ini yang didakwa telah membuang air besar di bilik mandi rumah tumpangan itu.
"Kami telah menutup tempahan daripada warga Korea dan China daripada menginap tempat kami dan kini kami akan menutup tempahan untuk rakyat Malaysia juga," menurut satu kenyataan pada Jumaat.
Namun, dalam satu kenyataan terbaharu di akaun Facebook pada Sabtu, Vitti Lodge & Family Apartment mengambil tindakan untuk tidak memanjangkan isu berkenaan.
“Kami juga mempunyai rakan-rakan Malaysia yang kerap menginap di tempat kami. Kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk menginap sini,” katanya pada Sabtu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas video permohonan maaf individu dipercayai bernama Ku Hidayat yang didakwa ‘membuat kecoh’ di rumah tumpangan tersebut, dimuat naik di laman Facebook Vitti Lodge & Family Apartment.
BACA: Isu kecoh di rumah tumpangan Jepun, Ramadhan Sinclair minta maaf
#buang air besar #Ramadhan Sinclair #rumah tumpangan di Jepun #vitti lodge & family apartment