Rumah, tiga kenderaan musnah terbakar di Kamunting
Aida Aziz
Oktober 21, 2024 05:40 MYT
Oktober 21, 2024 05:40 MYT
KAMUNTING: Sebuah rumah bersama-sama tiga buah kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Kampung Air Puteh, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.12 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping bergegas ke lokasi.
Katanya, dalam kejadian tersebut, rumah jenis Kelas B terbakar 90 peratus sementara sebuah pacuan empat roda, sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diparkir di bahagian garaj, turut musnah.
"Tiada mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian kebakaran ini.
"Ketua operasi telah membuat size-up serta mengaplikasikan konsep RECEO dan mengarahkan anggota membuat kerja pemadaman menggunakan air dari pili bomba," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Operasi yang diketuai oleh PPgB Muhammad Syamil Mustapa Kamal itu membabitkan seramai 18 orang anggota bomba dan tamat jam 10 malam.