Rumah tidak mampu milik: BNM saran 5 cara selesai masalah
Luqman Hariz
Februari 15, 2018 12:13 MYT
Februari 15, 2018 12:13 MYT
Bank Negara Malaysia pada Rabu menerbitkan laporan bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian” sewaktu mengumumkan laporan ekonomi negara suku keempat 2017.
Laporan tersebut antara lain menyatakan, harga rumah di Malaysia dikategorikan sebagai “sangat tidak mampu milik”, mengakibatkan jumlah kediaman tidak terjual meningkat kepada 146,497 unit pada suku kedua 2017, kadar tertinggi dalam sedekad.
Dalam laporan yang sama, bank pusat menggariskan lima cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.
1. Tubuhkan agensi tunggal kendali hal-ehwal rumah mampu milik
“Pembekalan rumah kini tidak seragam dan tidak selaras di seluruh negara. Lebih 20 agensi di peringkat kebangsaan dan negeri terlibat dalam pembekalan rumah mampu milik.
“Ini menyukarkan penyelarasan dasar, sekaligus menyukarkan kerajaan mencapai sasaran untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik pada 2018,” katanya.
Bank Negara berkata antara 2013 dan Oktober 2017, hanya 255,341 rumah mampu milik telah siap dibina.
2. Tubuhkan pangkalan data kumpul maklumat dan keperluan pembeli
“Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai satu pangkalan data yang merekodkan pembekalan dan permintaan perumahan dengan tepat. Kekurangan maklumat seperti pendapatan isi rumah, kriteria dan kehendak pembeli rumah menjejaskan kebolehan untuk pembinaan rumah disesuaikan dengan permintaan.
“Ini menyumbang kepada rumah yang telah dibina, tidak terjual di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor dan Kedah,” katanya.
BNM berkata, tinjauan juga boleh dilakukan untuk mengumpulkan maklumat lebih tepat mengenai keperluan pembelian rumah rakyat Malaysia.
Katanya, langkah ini diterima pakai di negara maju seperti Singapura dan Amerika Syarikat.
3. Kurangkan kos pembinaan
Kos pembinaan yang tinggi menjadi salah satu penghalang kepada pembekalan rumah mampu milik secara menyeluruh, di mana kos pembinaan, tenaga kerja, kos pematuhan dan kos tanah boleh mencecah sehingga 80 peratus harga rumah, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Sehubungan itu, menurut BNM, cara pembinaan tradisional yang kurang produktif juga memanjangkan proses pembinaan, sekaligus meningkatkan kos pembinaan.
Ia menambah, kecenderungan Malaysia untuk menggunakan tenaga kerja kurang mahir juga menyukarkan negara ini untuk menerima pakai teknologi pembinaan baru.
Cara lain untuk mengurangkan kos pembinaan termasuk dengan menerima pakai teknologi pembinaan seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), menyeragamkan reka bentuk rumah dan menyerahkan tanah awam untuk pembinaan rumah mampu milik.
4. Tingkatkan kadar celik wang rakyat
BNM berkata, majoriti isi rumah Malaysia masih kurang pengetahuan kewangan untuk membuat keputusan kewangan secara bernas.
“Lebih 75 peratus rakyat Malaysia sukar untuk mengumpulkan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan, sementara 47 peratus dari remaja mempunyai hutang kad kredit yang berlebihan,” katanya.
Bank pusat berkata, kurang kecelikan kewangan, digabung dengan kadar hutang isi rumah yang tinggi (88.4 peratus dari KDNK) serta harga rumah yang meningkat lebih cepat dari pendapatan, menjejaskan kebolehan isi rumah Malaysia untuk membeli rumah.
“Penting untuk rakyat Malaysia sedar bahawa kos membeli rumah lebih dari sekadar kos membeli,” kata BNM.
5. Galakkan amalan menyewa
“Tidak seperti negara yang juga mengalami masalah rumah tidak mampu milik seperti Kanada, New Zealand dan Australia, Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang digubal khas untuk menyelia pasaran sewa,” kata BNM.
Ia berkata, kekurangan sokongan undang-undang dan proses penyelesaian pertelingkahan antara tuan rumah dan penyewa yang mampu milik telah mendorong sesetengah rakyat Malaysia untuk membeli rumah berbanding menyewa.
BNM bagaimanapun berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah positif untuk mengukuhkan pasaran sewa, termasuk menerusi pengumuman Akta Sewaan Kediaman pada Bajet 2018.
BNM menambah, kadar penyewaan di Malaysia sebanyak 24 peratus masih rendah berbanding negara maju seperti Kanada (31 peratus), Australia (33 peratus) dan New Zealand (36 peratus).
#agensi
#Bank Negara
#Bank Negara Malaysia
#celik wang
#kos pembinaan
#pangkalan data
#PR1MA
#PRIMA
#rumah
#rumah mampu milik
#rumah murah
#rumah tidak mampu milik
#sewa