Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak tumpuan pelbagai kaum
Bernama
April 10, 2024 14:30 MYT
April 10, 2024 14:30 MYT
KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini, menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum dan agama dari sekitar bandar raya ini.
Tinjauan Bernama mendapati tetamu mula memenuhi perkarangan BCKK seawal 10 pagi sekalipun majlis hanya bermula pada 10.30 pagi dan akan berlangsung hingga 3 petang.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar antara pemimpin negeri terawal yang hadir pada majlis itu, selain beberapa menteri kabinet persekutuan dan negeri.
Terdahulu, Wan Junaidi dan Abang Johari menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya.
Keadaan hujan renyai pada pagi tadi tidak menghalang ribuan umat Islam untuk turut serta menunaikan solat yang dipimpin Imam Besar Negeri Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi itu.
-- BERNAMA