Rumah Terbuka Aidilfitri PM dilanjutkan sehingga 6 petang

Astro Awani
Mei 8, 2022 16:11 MYT
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik COVID-19, dan kali ini ia mendapat sambutan luar biasa. - Bernama
PUTRAJAYA: Acara Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana di sini telah dilanjutkan selama dua jam lagi untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang awam menghadirinya.
Acara berkenaan, yang pada awalnya dijadualkan bermula pada jam 10 pagi telah dimulakan lebih awal iaitu pada jam 9 pagi. Mengikut perancangan, ia dijangka berakhir pada jam 4 petang, namun kini sudah dilanjutkan sehingga 6 petang.
“Majlis Rumah Terbuka telah dilanjutkan sehingga jam 6 petang atas arahan Perdana Menteri bagi memberi peluang kepada pengunjung menghadirinya.
"YAB PM ambil keputusan untuk lanjutkan sehingga selesai meskipun majlis sepatutnya berakhir pukul 4 petang, kerana tidak sampai hati melihat Keluarga Malaysia beratur panjang menunggu giliran.
"Pertama kali dalam sejarah tetamu seramai ini," menurut satu pesanan ringkas dari Pejabat Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota Kabinet beliau.
Mendapat sambutan yang luar biasa, dianggarkan sekitar 100,000 pengunjung yang terdiri daripada orang kenamaan dan masyarakat umum menghadiri majlis di Seri Perdana itu.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik COVID-19.
Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet Pakatan Harapan beliau.
#rumah terbuka PM #Aidilfitri #Seri Perdana #pengunjung #rakyat Malaysia
;