Rumah Terbuka Aidilfitri PM Anwar, Jemaah Menteri bermula 29 April hingga 14 Mei

Astro Awani
April 23, 2023 17:43 MYT
Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di enam negeri dijadual berlangsung bermula antara 29 April hingga 14 Mei depan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di enam negeri dijadual berlangsung bermula antara 29 April hingga 14 Mei depan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI terbuka kepada orang ramai bagi memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim.
Enam lokasi tersebut ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan serta Terengganu.
"Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri itu akan bermula di Kedah pada 19 April di Hotel Raia, Alor Setar bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.
"Ia kemudian diteruskan di Pulau Pinang dengan UiTM Permatang Pauh menjadi venue pilihan pada 6 Mei, yang dijadual pada jam 11 pagi hingga 2 petang," katanya dalam kenyataan itu.
Lokasi ketiga ialah di Dewan Majlis Bandaraya, Seremban pada 7 Mei bermula 11 pagi hingga 2 petang.
Sementara itu, Rumah Terbuka Aidilfitri di Kelantan pula akan berlangsung di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada 12 Mei bermula pukul 7 hingga 10.30 malam.
Di Terengganu, rumah terbuka tersebut berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UNISZA pada 13 Mei pada jam 7 hingga 10.30 malam.
Selangor menjadi lokasi terakhir dengan penganjuran berkenaan berlangsung di Kawasan Komersial Fasa 3, Batu Caves pada 14 Mei bermula 8 hingga 11 malam.
#rumah terbuka PM #Anwar Ibrahim #Aidilfitri 2023 #Kerajaan Perpaduan
;