Rumah terbuka Aidilfitri meriah, erat hubungan kaum
Bernama
April 10, 2024 16:15 MYT
April 10, 2024 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kemeriahan sambutan Aidilfitri hari ini bukan hanya dirasai umat Islam di negara ini malah turut diraikan masyarakat berbilang kaum menerusi penganjuran rumah terbuka.
Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum hadir meraikan Majlis Istana Terbuka di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah sempena perayaan Aidilfitri.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat tiba pada 9.45 pagi dan turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan exco kerajaan negeri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali ketika ditemui Bernama berkata pelbagai juadah disajikan menerusi lebih 20 gerai makanan antaranya rendang maman, ayam goreng 'stano', apam balik Seri Menanti dan ketupat pada majlis yang bermula 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu.
Seorang pengunjung, Alan Rajasooria, 57, berkata dia sekeluarga tidak mahu ketinggalan meraikan Aidilfitri dan menyifatkan Majlis Istana Terbuka itu sebagai ruang terbaik mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Di KELANTAN, hujan renyai sejak awal pagi tidak menghalang ribuan rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka anjuran Istana negeri di Istana Balai Besar, Kota Bharu.
Antara yang tidak melepaskan peluang hadir ke majlis berkenaan adalah pasangan suami isteri Hor Kun Wah, 65, dan Loh Wai Khan, 55.
"Saya dan suami berasa sungguh gembira kerana dapat mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dengan rakan-rakan yang meraikan sebab saya sangat suka masakan dan juadah disediakan orang Melayu," kata Loh.
Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lurah Semantan, Temerloh yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu.
Baginda berdua yang tiba pada 10.15 pagi berkenan menyantuni pengunjung sambil diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Di JOHOR, kira-kira 12,000 'Bangsa Johor' hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasminya di Johor Bahru.
Sebanyak 32 gerai menyajikan 22 menu seperti mi rebus, laksa Johor, burasak, ketupat, rendang dan nasi briyani disediakan kepada tetamu yang hadir.
Bagi K. Saravanan, 49, dari Larkin berkata dia sekeluarga tidak melepaskan peluang hadir ke rumah terbuka Menteri Besar Johor sejak lebih 10 tahun lalu.
"Apa yang bagus tentang rumah terbuka, kita bukan sahaja dapat menikmati makanan yang pelbagai tetapi paling utama di sinilah semua kaum Melayu, Cina dan India bertemu," katanya.
Di TERENGGANU, dianggarkan 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di kediaman rasminya, Seri Iman di Kuala Terengganu.
Sebanyak 15 jenis juadah menarik disajikan kepada pengunjung antaranya nasi dagang, keropok lekor dan rojak katih.
Seorang pelajar sekolah rendah Ng Zheng Ren, 9, menarik perhatian apabila hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hijau bersama ibu dan neneknya.
Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Wei Sin itu berkata baju itu dibeli untuk sambutan Aidilfitri di sekolahnya, tahun lepas.
-- BERNAMA