Rumah terbakar, sambutan Tahun Baharu Cina empat sekeluarga bertukar suram
Bernama
Januari 29, 2025 14:00 MYT
Januari 29, 2025 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina bagi empat sekeluarga bertukar duka apabila kediaman dihuni mereka di Taman Mas 1, Hulu Langat, dekat sini, terbakar awal pagi tadi.
Keempat-empat mangsa berusia lingkungan 46 hingga 81 tahun itu terperangkap di dalam rumah berkenaan sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba, namun mengalami sesak nafas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.40 pagi.
Beliau berkata sebanyak 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah teres setingkat yang musnah 20 peratus serta sebuah motosikal Yamaha yang diletakkan di hadapan rumah, dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit.
"Terdapat sepasang warga emas serta masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa yang diselamatkan bomba mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.20 pagi, namun punca kebakaran masih dalam siasatan.
-- BERNAMA