Rumah terbakar, kanak-kanak 6 tahun maut sesak nafas

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 5, 2021 19:32 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas rumahnya terbakar. - Foto ihsan JBPM
GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kondominium The Rise Collection 2, Taman Harapan, George Town pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, adik lelaki mangsa yang berusia empat tahun ditemui selamat dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa meninggal dunia selepas kira-kira sejam menerima rawatan di HPP.
Menurut Soffian, ketika kejadian mangsa bersama adiknya sedang tidur di ruang tamu rumah manakala kedua ibu bapanya keluar membeli barangan keperluan harian dan membawa adik bongsunya berusia setahun.
Kebakaran | Kanak-kanak 6 tahun maut terhidu asap
Katanya, bapa mangsa memaklumkan ada menggunakan aplikasi kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit untuk memantau keadaan anak-anaknya di rumah.
Mereka bagaimanapun menyedari berlaku kebakaran selepas membuat panggilan video bersama anak lelakinya sebelum bergegas pulang.
Menurut Soffian, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan dan diberi bantuan pernafasan oleh pasukan bomba sebelum dikejarkan ke hospital bersama adik lelakinya namun disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.
"Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat tersedut asap.
"Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Jelutong," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Aazelan Hassan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.05 pagi.
Aazelan berkata, kanak-kanak itu bersama adiknya ditinggalkan di rumah dalam keadaan pintu berkunci oleh ibunya yang mahu ke kedai.
Katanya, kebakaran tersebut telah memusnahkan hampir 80 peratus kediaman itu yang berada di tingkat 19 kondominium tersebut.
Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.15 pagi, manakala punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #kanak-kanak perempuan #sesak nafas #rumah terbakar #Hospital Pulau Pinang #Polis Daerah Timur Laut #bomba
;