Rumah terbakar gara-gara sepuntung rokok
Astro Awani
Julai 20, 2019 23:31 MYT
Julai 20, 2019 23:31 MYT
Satu puntung rokok mungkin nampak kecil, tetapi hampir meragut nyawa seorang buruh.
Itu detik cemas dihadapi Khairul Anizar Embi, 35 tahun, yang tidak menyedari puntung rokok dibuangnya masih berasap, sebelum ia tiba-tiba menyambar tilamnya lalu membakar seluruh isi rumahnya.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira 1.50 petang Sabtu di sebuah rumah tingkat dua di Pangsapuri Seri Sena, Kangar itu, mangsa yang baru terlelap, bergegas menyelamatkan diri sebaik menyedari kepulan asap memenuhi ruang rumahnya.
Mengimbas detik hitam itu, Khairul yang masih trauma berkata, semuanya berlaku dengan pantas dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan berharga.
“Saya balik kerja nak rehat tengah hari, masuk masuk dalam rumah tu cucuh cucuh rokok terus tidur atas sofa.
"Sambil hisap, rokok tu ada pada tangan dan (saya) tak sedar (puntung itu) terjatuh atas kain cadar. Selepas itu, sedar-sedar sahaja asap (dah) banyak dan saya terus lari keluar," katanya.
Kata mangsa, dia cuma penyewa di rumah itu dan tinggal seorang diri setelah ibunya yang terbabit dalam kemalangan, meninggal dunia pada Februari lalu.
Sehingga kini, dia tidak dapat membuat anggaran mengenai jumlah sebenar kerugian.
Buat masa ini, mangsa belum membuat apa-apa perancangan dan akan menumpang di rumah saudara terdekat.