Rumah terbakar, enam keluarga tinggal sehelai sepinggang

Muhafandi Muhamad
November 8, 2019 18:52 MYT
Kebakaran melibatkan enam buah rumah struktur kayu di Kampung Laut. - Foto Astro AWANI
Enam keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran pagi tadi.
Kebakaran sekitar jam 10.30 pagi tadi melibatkan enam buah rumah struktur kayu di Kampung Laut di sini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan, usaha pantas bomba mengawal api berjaya menyelamatkan tiga buah lagi rumah berhampiran.
“Kemerebakkan api sangat cepat kerana struktur kayu serta angin kencang dan panas pada masa itu dan juga alhamdulillah kita berjaya memadamkan api. Secara keseluruhan, enam buah rumah terlibat,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Menurutnya seramai 36 orang anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman tersebut dan berjaya mengawal api dari merebak ke rumah berhampiran.
Pihaknya juga menghadapi kesukaran mengawal kebakaran berikutan tekanan air yang rendah dari pili bomba.
Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat #hangus dijilat api #kebakaran #kebakaran di Tumpat #sehelai sepinggang
;