Rumah terbakar, 11 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang
Muhafandi Muhamad
Mei 24, 2021 17:37 MYT
Mei 24, 2021 17:37 MYT
GUA MUSANG: Sebelas sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah di tingkat tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor, berkata dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, pasukan bomba sempat mengawal api daripada merebak ke unit lain di PPR berkenaan.
"Seramai 11 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi dan sebaik tiba api sedang marak di rumah terbabit. Kita berjaya mengawal api dan memadamkannya tidak lama kemudian," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut mangsa, Nur Mas Syahrawani Bakar, 16, ketika kejadian dia berada di rumah bersama bapa, abang serta anak saudaranya.
"Saya sedar kebakaran bermula di dapur. Saya segera kejutkan abang yang sedang tidur. Dia cuba padamkan api namun tidak berjaya.
"Kami kemudian keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, ibunya, Robiah Daud, 51, berkata mereka kini tiada tempat untuk dituju kerana semuanya telah musnah.
"Saya balik tengok rumah terbakar. Sedih sangat, tak tahu nak duduk mana lagi lepas ini. Semua barang tak sempat diselamatkan.
"Apa lagi yang boleh dibuat sekarang, saya terpaksa mengharapkan bantuan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, yang melawat keluarga itu berkata, pihaknya akan memberi bantuan sewajarnya.
Katanya, kebakaran itu adalah yang terbesar sejak PPR Gua Musang yang mempunyai 1,000 unit kediaman itu dibuka lima tahun lalu.
"Saya telah menghubungi pihak pengurusan PPR ini dan meminta pertolongan mereka supaya keluarga in diberi penempatan sementara. Rumah mereka akan diperbaiki kemudian," katanya.
#PPR Gua Musang
#kebakaran
#11 sekeluarga
#sehelai sepinggang
#kebakaran rumah
#musnah
#ADUN Galas
#Mohd Syahbuddin Hashim