Rumah sewa simpan rokok seludup RM637,000 diserbu
Sinar Harian
Julai 19, 2021 06:35 MYT
Julai 19, 2021 06:35 MYT
KUANTAN: Seorang lelaki ditahan bersama rokok seludup dianggarkan bernilai RM637,687 termasuk cukai hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Melati, Jerantut pada Ahad.
Hasil serbuan sepasukan anggota Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 12 tengah hari itu membawa kepada penemuan 82 kotak besar dan 39 karton rokok putih dan rokok kretek tanpa cukai.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali berkata, rumah berkenaan dipercayai disewa untuk dijadikan stor simpanan bekalan rokok seludup sebelum diedarkan ke kedai-kedai runcit sekitar Jerantut.
"Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM7,700 dengan bernilai keseluruhan rampasan termasuk rokok mencecah RM737,137," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 34 tahun itu dipercayai bertindak sebagai pengedar yang memperoleh bekalan diperoleh dari Kuala Lumpur.
"Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkait kes di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan bagi menakutkan penjawat awam.
"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai rokok atau RM100,000 yang mana paling tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Tegasnya, pihak polis akan menpergiat operasi membanteras penyeludupan rokok tidak bercukai terutama di sekitar negeri-negeri pantai timur.
"Kegiatan haram ini perlu dibanteras kerana menyebabkan kerugian kepada negara sekitar RM5 bilion setahun," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian: Rumah sewa simpan rokok seludup RM637,000 diserbu
#rokok seludup
#Taman Melati
#PGA
#Kasuahdi Ali
#Akta Kastam 1967
#Rokok putih
#rokok kretek
#stor simpanan bekalan rokok seludup