Rumah sewa dijadikan makmal proses dadah
Astro Awani
Februari 25, 2019 22:42 MYT
Februari 25, 2019 22:42 MYT
Satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat sebagai makmal memproses dadah akhirnya tumpas di tangan polis.
Kegiatan tersebut dibongkar sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Shah Alam dalam serbuan di Setia Alam, Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu berjaya memberkas sembilan individu berusia lingkungan 19 hingga 65 tahun termasuk seorang wanita.
Hasil semakan mendapati suspek ini mempunyai pertalian keluarga yang mana wanita terbabit juga adalah ibu kepada salah seorang suspek lelaki.
Dalam serbuan ini, polis telah merampas 6.9 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, 0.75 kilogram dadah disyaki heroin 'base' dan dadah disyaki ganja seberat 1.25 kilogram yang dianggarkan bernilai RM149,585.
Selain itu, enam buah kenderaan jenis Perodua Alza, Nissan Frontier, Perodua Myvi, Proton Persona, Proton Waja dan Proton Wira telah disita bersama dengan pelbagai barang kemas serta jam tangan.
“Jadi kesimpulannya, jumlah keseluruhan nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM138,413, jumlah sitaan lebih kurang RM186,000, rampasan herion base berjumlah 750 gram yang boleh menghasilkan sebanyak 25 pound bersamaan dengan 10.8 kg heroin," kata Noor Azam.
Sindiket ini menyewa kediaman yang dilengkapi kawalan kameran litar tertutup dan pengawal keselamatan dengan harga RM1,600 sebulan sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata, dadah yang diproses dipercayai untuk pasaran tempatan dan sindiket terbabit dipercayai memproses dadah sebanyak 30 hingga 35 kg sebulan.
Polis masih siasat peranan kesemua suspek ini selain mengenal pasti sama ada mereka ini terbabit dalam kegiatan kongsi gelap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Akta Dadah Berbahaya
#Bukit Aman
#Dadah
#heroin
#jenayah
#Makmal
#rumah sewa
#Setia Alam
#shah alam
#siasatan
#sindiket