Tujuh unit rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Sekma, Sentul malam tadi mengakibatkan 30 penghuni kehilangan tempat tinggal.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Gombak Selatan Haikal Jimmy Ngali Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 11.07 malam.

"Kita masih siasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, sambil menambah api berjaya dipadamkan dalam tempoh 30 minit oleh anggota bomba dengan menggunakan enam jentera bomba dari Balai Bomba Gombak Selatan, Balai Bomba Sentul, Balai Bomba Titiwangsa dan Balai Bomba Hang Tuah.

Seorang mangsa S.Yasotha, 34, berkata ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur tetapi menyedari apabila terdengar bunyi letupan dan bekalan elektrik di rumahnya terputus.

"Saya seorang di rumah kerana suami saya pergi bawa teksi. Saya tidak sempat mengeluarkan barang-barang di rumah dan saya anggar kerugian sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 secara keseluruhan termasuk barangan kemas, elektrik, pakaian, perabot dan lain-lain lagi," katanya.

Seorang lagi mangsa, N.Marimuthu, 52, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian kerana berada di luar menyambut hari lahir ahli keluarganya di Sri Gombak.

"Saya keluar rumah pukul 8.30 malam, dan saya dimaklumkan oleh jiran yang rumah saya terbakar. Saya tidak sempat mengeluarkan apa-apa pun dari rumah.

"Saya susah hati kerana anak sulung saya akan ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga hari lagi. Semua barang musnah termasuk barang sekolah anak saya," katanya.