Rumah sangkar haram diserbu, hampir 1,000 sangkar ikan disita di Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Mei 10, 2024 16:25 MYT
Mei 10, 2024 16:25 MYT
KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyita 800 unit sangkar ikan yang berada di kedudukan 1.0 batu nautika dari barat daya Pulau Langgun, Langkawi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, sitaan itu dibuat selepas bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 di sekitar perairan Langkawi mengesan rumah sangkar berkenaan pada Khamis.
"Pasukan kemudian menghampiri sebuah sangkar ikan milik sebuah syarikat dan memeriksa dokumen setiap pekerja sangkar.
“Hasil pemeriksaan mendapati, 13 orang pekerja yang terdiri daripada empat warga tempatan, enam warga India dan tiga warga Indonesia masing-masing mempunyai dokumen diri yang lengkap.
“Bagaimanapun, seorang penyelia sangkar ikan warga tempatan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Daripada jumlah keseluruhan sangkar yang disita, kira-kira sebanyak 300 sangkar mengandungi ikan pelbagai jenis dan saiz. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM75,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran dan Akta Perikanan 1985 kerana tiada permit pengoperasian sistem kultur laut yang sah.