Rumah runtuh: Penghuni 66 kediaman berhampiran diarah pindah
Bernama
Januari 7, 2021 16:48 MYT
Januari 7, 2021 16:48 MYT
KUANTAN: Penghuni 66 unit rumah di Taman Gambang Damai di sini, diarahkan berpindah hari ini, sebagai langkah berwaspada selepas dua rumah di situ runtuh akibat pergerakan tanah pada Selasa lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang Datuk Abd Rahim Muda berkata mereka terdiri daripada pemilik rumah yang terletak dalam lingkungan 100 meter dari lokasi kejadian.
"Kita akan memanggil pakar cerun dari Cameron Highlands untuk membuat penilaian segera bagi memastikan keadaan adalah selamat sebelum mereka boleh dibenarkan pulang ke rumah.
"Buat masa ini, kita juga menempatkan pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Pahang untuk memantau dan membuat laporan setiap jam keadaan tanah untuk melihat jika masih berlaku pergerakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian hari ini, bersama Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar.
Penghuni yang diarahkan berpindah buat masa ini ditempatkan di sebuah resort berhampiran dengan bantuan pemaju, selain ada yang memilih menumpang rumah saudara atau menyewa di kawasan perumahan berhampiran.
Selain itu, Abd Rahim juga memaklumkan mereka menyedari terdapat kesan retak di tanah di sebuah tangki air di lokasi runtuhan sebelum ini dan tindakan segera dilakukan untuk mengosongkan tangki berkenaan.
Pada Selasa, dua buah rumah di situ runtuh sekitar 3.30 pagi, dipercayai akibat pergerakan tanah ekoran hujan berterusan sejak Sabtu lepas.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuninya meninggalkan rumah itu beberapa jam sebelum kejadian berlaku.
-- BERNAMA
#banjir pahang
#rumah runtuh
#tanah runtuh
#Taman Gambang Damai
#Kuantan
#pergerakan tanah
#hujan lebat
#Exco
#Abd Rahim Muda