Rumah rosak, pokok tumbang akibat 'puting beliung' di Ipoh
Abd Razak Mohd Ali
Januari 30, 2022 21:02 MYT
Januari 30, 2022 21:02 MYT
IPOH: Beberapa buah rumah di sekitar bandar raya ini termasuk di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di sini, dilaporkan rosak ekoran kejadian ribut yang digambarkan sebagai puting beliung, lewat petang Ahad.
Kejadian turut menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menimpa rumah yang berhampiran.
Bagaimanapun, setakat jam 8 malam, belum dapat dipastikan jumlah kediaman serta harta benda yang terlibat.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas pada 6.40 petang.
Katanya, setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, didapati beberapa batang pokok tumbang dan beberapa rumah mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, kata jurucakap itu, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Astro AWANI menerima beberapa klip video yang menunjukkan kejadian puting beliung itu menerbangkan atap rumah yang dikatakan berlaku sekitar jam 6.15 petang.
Pihak bomba masih membuat pemantauan di lokasi kejadian di samping beberapa agensi sedang mengambil tindakan untuk membersihkan pokok tumbang, khususnya yang menghalang lalu lintas.