Rumah Rayer dilempar kepala lembu berdarah, polis siasat motif

Astro Awani
Jun 28, 2014 12:22 MYT
Kepala lembu berlumuran darah yang ditemui di hadapan rumah ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer - Gambar fail
Rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer pagi tadi digemparkan dengan penemuan kepala lembu berlumuran darah di depan rumahnya.
Kejadian tersebut disedari isterinya ketika membuka pagar rumah pada kira-kira jam tujuh pagi selepas diberitahu oleh seorang individu yang pada ketika itu sedang berjalan di hadapan rumahnya.
Sebaik menyedari kepala lembu yang telah disiat kulit itu berada di hadapan rumah mereka, Rayer terus menghubungi polis.
“Saya diberitahu terdapat kepala lembu di hadapan rumah. Saya terus hubungi pihak polis serta Ketua Menteri untuk memaklumkan apa yang berlaku,” kata Rayer.
Pihak polis tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid Al-Athrash Wahid mengesahkan kejadian tersebut serta menyatakan bahawa siasatan kini sedang dijalankan.
“Setelah mendapat maklumat, pihak polis telah dikerahkan ke lokasi dan kami dapati terdapat satu kepala lembu di hadapan rumah Rayer. Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan menyebabkan kegusaran dalam agama.
“Menerusi rakaman CCTV, kami mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal telah meletakkan kepala lembu tersebut di hadapan rumah Rayer.” Kata ACP Mior.
Polis kini masih menjalankan siasatan berhubung motif kepala lembu itu di letakkan di hadapan rumah Rayer.
Baru-baru ini Kongres Melayu Pulau Pinang telah memberi amaran kepada Rayer supaya tidak 'bermain api' berikutan sikap biadab pemimpin DAP itu yang berterusan menghina orang Melayu.
Sebelum ini kekecohan turut berlaku di mana beberapa orang merempuh masuk ke dalam Dewan Persidangan bagi menuntut Rayer memohon maaf berhubung kenyataannya yang menyebut ‘UMNO Celaka’.
Turut hadir di rumah ADUN itu pagi tadi ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sementara itu, dalam satu laporan oleh portal berita The Malaysian Insider, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejadian tersebut sebagai akibat dari ‘mulut celupar’ Rayer.
"Sebagai ahli politik, saya simpati dengan beliau, tetapi itulah harga yang perlu beliau bayar kerana mulut celupar," kata Zahid selepas majlis penutup pengiktirafan pengawal keselamatan di Kuala Kubu Baru, hari ini.
Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang mengenai isu penemuan kepala lembu yang masih berdarah serta tanpa kulit di depan pintu pagar rumah Rayer pagi tadi.
#kepala lembu #R.S.N Rayer #rumah #seri delima
;