Rumah pusaka hilang seri, Aidilfitri sepi tanpa Khalid Ali
Bernama
April 12, 2024 07:30 MYT
April 12, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Rumah pusaka Lorong Keramat Dalam Satu di tengah ibu kota Kuala Lumpur yang menyimpan memori manis ketika Syawal kini hilang serinya tanpa kelibat bekas pemain kebangsaan Khalid Ali.
Walaupun ia masih kekal menjadi tempat berkumpul merentasi empat generasi namun tanpa kelibat Khalid, suasana sedikit janggal tanpa watak penghibur yang sentiasa menghiasi kemeriahan Aidilfitri keluarga besar mereka.
Abangnya Hanafiah Ali, mengakui ketiadaan Khalid pada Aidilfitri kali ini amat dirasai apatah lagi dia sangat merindui celoteh dan seloroh bekas nadi skuad Harimau Malaya yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 itu.
Baginya, kehilangan Khalid amat dirasai kerana kedua-dua mereka sangat rapat lebih-lebih lagi ketika sama-sama bernaung di bawah payung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
"Ya, sukar. Sedihlah, saya tak boleh nak cakap. Rindu... selalunya kalau ada majlis libatkan bekas atau YAKEB, beliau mesti bawa saya bersama," katanya ketika ditemui baru-bru ini.
Khalid menghembuskan nafas terakhir pada 6 Feb lepas pada usia 66 tahun selepas hampir setahun bertarung dengan penyakit kanser paru-paru.
Legenda bola sepak negara itu melengkapkan tiga serangkai pemain tengah bersama Shukor Salleh dan Bakri Ibni yang mengemudi enjin pasukan di bawah kendalian jurulatih Karl-Heinz Weigang dan Mohammad Bakar ketika itu.
Selain Khalid dan Hanafiah yang pernah bersama skuad kebangsaan memenangi pingat gangsa di Sukan Asia 1974 di Tehran, dua lagi saudara mereka turut terlibat dalam sukan bola sepak iaitu Abdul Rahman Ali dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
Mereka dibesarkan di bawah satu bumbung dan berkongsi minat sama, masing-masing pernah menyarung jersi Selangor dan Harimau Malaya ketika zaman kegemilangan mereka dalam arena bola sepak negara.
-- BERNAMA