Rumah pusaka di Jeti Chew lokasi keluarga berkumpul untuk makan besar

Bernama
Februari 4, 2019 05:38 MYT
Keluarga Ong Seng Siew yang juga waris keturunan Chew menggaul Yee Sang di rumah pusaka di Jeti Chew, Jalan Pengkalan Weld sebelum mengadakan majlis makan besar malam tadi bersama keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina. - BERNAMA
Sudah menjadi kelaziman menjelang malam Tahun Baharu Cina apabila semua anggota keluarga masyarakat Tionghua berkumpul bagi upacara makan besar.
Sama seperti keluarga lain, waris keturunan Chew di Jeti Chew, Pengkalan Weld di sini menjadikan rumah pusaka berusia hampir 60 tahun milik mendiang ibunya yang terletak di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) itu sebagai lokasi wajib untuk semua anggota keluarga berkumpul bagi upacara makan besar setiap tahun.
Anak bongsu daripada empat beradik itu, Chan Hua Hin, 49, berkata sudah menjadi kebiasaan semua anggota keluarga akan berkumpul di rumah mendiang ibunya yang terletak di atas laut itu untuk makan bersama pada malam tahun baharu setiap tahun dan sekali lagi berkumpul keesokan harinya bagi menyambut Tahun Baharu Cina.
"Ini adalah tradisi, adat dari nenek moyang kami. Kami kena kumpulkan ahli keluarga sebagai satu tanda keluarga yang harmoni dan bahagia. Semua akan berkumpul sekali makan bersama pada hari terakhir (dalam kalendar Cina) untuk menyambut Tahun Baharu Cina. Selepas upacara makan besar ini kami akan pulang ke rumah masing-masing sebelum berkumpul semula di sini keesokan hari.
"Bagi masyarakat Hokkien, hari terakhir dalam satu tahun itu adalah penting dan malam kelapan selepas tahun baharu juga penting. Jadi, kami sekeluarga akan berkumpul di rumah pusaka ini pada malam terakhir dan malam kelapan tahun baharu," katanya kepada Bernama, di sini malam tadi.
Chan berkata mendiang ibunya, Ong Seng Siew, 90, yang meninggal dunia pada tahun lepas telah berpesan kepada anak-anaknya supaya mengekalkan struktur dan konsep rumah berkenaan selain tidak menjual mahupun menyewanya kepada orang lain.
"Sebelum meninggal ibu pesan rumah ini tak boleh diperbaharui dengan corak-corak moden. Ibu mahu kami kekalkan corak begini dan struktur rumah yang dibina dengan kayu. Ibu mahu suasana dan persekitaran rumah yang sama dikekalkan setiap tahun. Selepas ibu meninggal kakak saya akan datang bersih dan tengokkan rumah ini.
"Ada setengah rumah di Jeti Chew ini sudah bertukar wajah kerana ditukar kepada konkrit dan sudah hilang bentuk yang dulu. Ibu tidak setuju dengan cara ini. Ibu mahu kami kekalkan, walaupun kos agak tinggi untuk 'menyelenggara' rumah ini tapi disebabkan itu adalah niat ibu kami akan tunaikan niat ibu itu," katanya.
Beliau yang bekerja sebagai penjual kereta itu berkata tahun ini beliau bersama isteri dan dua anaknya serta kira-kira 30 anggota keluarga yang lain berkumpul di rumah pusaka berkenaan pada pukul 8 malam untuk upacara makan besar itu.
Menurutnya, walaupun tahun ini berlainan kerana ketiadaan ibunya, namun kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina tetap dirasa dengan semangat mendiang ibu yang sentiasa bersama mereka.
Ditanya mengenai juadah wajib setiap kali upacara makan besar itu, Chan berkata tiada makanan wajib sebaliknya mereka memilih stimbot untuk juadah pada upacara makan besar itu kerana lebih mudah dan senang untuk dihidangkan berikutan jumlah anggota keluarga yang ramai.
Mengulas mengenai harapan sempena tahun baharu, Chan berharap Malaysia akan terus maju dan rakyat hidup dalam suasana harmoni. -- Bernama
#Jeti Chew #Makan Malam #Pengkalan Weld #Tahun Baru Cina
;