Rumah PPRT terjejas akibat banjir akan dibaik pulih - Mahdzir

Bernama
Mac 2, 2022 21:17 MYT
Mahdzir berkata, Ketengah juga telah mengenal pasti bantuan segera berupa kit bantuan bencana kepada penduduk terlibat banjir di Terengganu. - Gambar fai BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membaik pulih infrastruktur dan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang rosak atau musnah akibat banjir di Terengganu.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau telah berbincang dengan pihak terlibat untuk meneliti kerosakan dan keperluan segera yang diperlukan oleh penduduk yang terjejas akibat bencana itu.
Beliau berkata kakitangan di bawah agensi kementerian itu juga akan digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu penduduk yang terlibat banjir.
"Saya berharap, semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini, pada masa sama saya meminta supaya mereka sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk agensi KPLB bagi menyalurkan sebarang maklumat jika ada yang memerlukan sebarang bantuan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu katanya agensi di bawah kementeriannya iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) juga telah mengenal pasti bantuan segera berupa kit bantuan bencana kepada penduduk terlibat banjir di negeri ini.
Menurut Mahdzir bilik gerakan banjir di kawasan Ketengah juga telah dibuka sejak 25 Februari lepas.
"Sejumlah 3,000 unit kit bantuan bencana telah diserahkan kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan implikasi kewangan sejumlah RM300,000.
"Hari ini sebanyak 800 unit kit bantuan berjumlah RM80,000 disalurkan dan bantuan segera ini akan terus disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan bencana yang melanda negeri ini terutama di kawasan Hulu Terengganu, Hulu Dungun dan Kemaman," katanya.
Terdahulu Mahdzir mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatannya ke PPS Kampung Batu 23 di Kuala Berang, Hulu Terengganu petang semalam.
-- BERNAMA
#Mahdzir Khalid #baik pulih infrastruktur #rumah PPRT #banjir terengganu