Rumah pintar 'kantoikan' pencuri

Dewi Nur Harasha Alias
April 25, 2018 04:59 MYT
Suspek dipercayai masuk menerusi pintu gelongsor di bilik tidur utama berdasarkan kesan potong pada bahagian bawah pintu tersebut. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
Malang buat seorang pencuri apabila dia ditahan polis ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah rumah yang dipecah masuk di Taman Bertam Perdana 3, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu.
Lelaki berusia 32 tahun itu berjaya ditahan selepas pemilik rumah terbabit mengesan kelibat individu mencurigakan di dalam rumahnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan ke telefon bimbitnya kira-kira pukul 1.15 petang
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor, dalam kenyataan medianya memaklumkan suspek sebelum itu cuba melarikan diri menerusi pintu gelongsor di tingkat atas namun gagal berbuat demikian.
Katanya, suspek yang bersembunyi di dalam stor rumah itu bagaimanapun berjaya ditahan polis dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat.
"Siasatan mendapati, suspek dipercayai masuk menerusi pintu gelongsor di bilik tidur utama berdasarkan kesan potong pada bahagian bawah pintu tersebut," katanya.
Tambah Noorzainy, polis menemui beg galas berisi beberapa barangan yang dicuri seperti tab jenama Samsung, seutas jam tangan, kamera GoPro, jam tangan jenama G-Shock selain beberapa peralatan pecah rumah dan kerugian dianggarkan sebanyak RM5,000.
Beliau berkata, suspek ditemukan dalam keadaan calar di seluruh badan selain kakinya terseliuh dipercayai akibat terjatuh.
"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.
"Suspek yang memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
#CCTV #Kepala Batas #ketua polis seberang perai utara #Noorzainy Mohd Noor #pencuri #polis #pulau pinang
;