Rumah pegawai MPK disimbah cat merah
Bernama
Ogos 5, 2018 14:57 MYT
Ogos 5, 2018 14:57 MYT
Kediaman seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) disimbah dengan cat merah pada Jumaat lepas, dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakannya menutup restoran milik warga asing di kawasan bandar itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Muhamad Laham berkata kejadian disedari oleh mangsa ketika keluar dari rumah di Jalan Pimping, Kampung Dato Abdul Rahman Yassin di sini untuk menunaikan solat Subuh, kira-kira 5.45 pagi.
Katanya, cat didapati disimbah di kedua-dua tiang pagar rumah dan berikutan bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, dia lantas membuat laporan polis di balai berdekatan pada pukul 8 pagi.
"Mangsa yang berusia 43 adalah ketua penguatkuasa MPK yang mengetuai beberapa operasi penguatkuasaan terhadap premis warga asing. Namun, setakat ini, belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat (merosakkan harta benda).
--BERNAMA