Rumah pegawai kastam terbakar dilontar bom botol

Vivi Sumanti
Februari 10, 2020 13:30 MYT
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, pemilik kediaman, Razman Pak Dek yang bertugas di Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu tiada di rumah kerana terbabit dalam satu operasi. - Foto Astro AWANI
Rumah kediaman seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Perupok, Pasir Mas, terbakar selepas dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali dipercayai angkara khianat, awal pagi ini.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, pemilik kediaman, Razman Pak Dek yang bertugas di Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu tiada di rumah kerana terbabit dalam satu operasi.
Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim, dalam kejadian itu, dua buah kereta jenis Toyota Yaris dan Mitsubishi Triton yang berada di ruang parkir kediaman itu turut terbakar.
"Kejadian yang berlaku ini masih dalam siasatan dan pihak kami sudah membuat laporan polis bagi mengenal pasti punca insiden berkenaan berlaku.
"Susulan dari insiden ini, JKDM memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin mengancam keselamatan pegawai kami," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
#bom #bom botol #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #JKDM #Kota Bharu #Malaysia #Pasir Mas
;