Rumah Panjang Nanga Engkuah dipilih Kampung Angkat MADANI KKR

Umavathi Ramayah
Mei 13, 2024 09:00 MYT
Alexander ketika memberi ucapan kepada penduduk Rumah Panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas. - Astro AWANI
KAPIT: Rumah Panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song melakar sejarah tersendiri apabila terpilih menjadi Kampung Angkat MADANI pertama di negeri Sarawak.
Kementerian Kerja Raya memilih rumah panjang berkenaan sebagai Kampung Angkat dengan peruntukan RM2.5 juta bagi pembangunan kawasan itu sediri bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Lingi memberitahu, dengan peruntukan itu, rumah panjang tersebut bakal menerima projek fizikal yang meliputi pembinaan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan penghubung di antara tiga rumah panjang iaitu Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong.
Selain itu, katanya, Rumah Panjang Nanga Engkuah juga akan dipasang lampu jalan berasaskan tenaga solar.
"Skop projek yang akan dilaksanakan adalah lebih kepada pembinaan fizikal iaiti menaik taraf jalan dan jambatan yang sedia ada.
"Pelaksanaan projek bila siap nanti akan membawa manfaat kepada penduduk kampung untuk berhubung dengan selesa dan selamat kerana keadaan jambatan sedia ada yang telah uzur dan membahayakan," katanya pada sidang media selepas menyantuni penduduk Rumah Panjang Nanga Engkuah, di sini, pada Ahad.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menambah, selain itu, lampu jalan solar juga akan dipasang bagi memastikan keselamatan serta kemudahan penduduk berhubungan selain melakukan aktiviti bermasyarakat pada waktu malam.
Menurutnya, pada masa sama, beliau menerusi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah berunding bersama dan bersetuju untuk memberi sumber kewangan menggunakan sumber kewangan sama ada di DUN masing-masing atau agensi berkaitan bagi meningkatkan sosio ekonomi penduduk di situ.
"Ini bermakna kita akan memberi bantuan kewangan untuk menambah projek-projek sedia ada bagi menjadikan projek Kampung Angkat MADANI ini lebih sempurna dan lengkap bagi memastikan kesejahteraan penduduk.
"Di kampung ini juga, kerajaan negeri sudah membina stesen pertanian, jadi kita akan memanfaatkan sepenuhnya stesen itu dan justeru itu kita akan tumpu kepada tanaman-tanaman ini dan kita akan memberi bantuan dari segi kolam ikan plastik.
"Meskipun kita ada sungai, namun untuk tujuan komersial, ia perlu lebih tersusun dan teratur," jelasnya.
Rumah Panjang Nanga Engkuah yang dihuni 658 penghuni itu terletak kira-kira 50 kilometer dari pekan Song dan satu-satunya mod pengangkutan adalah jalan sungai menggunakan perahu yang mengambil masa tiga jam.
#Kampung Angkat MADANI #taraf hidup penduduk #Rumah panjang #Kementerian Kerja Raya
;