Rumah panjang hangus, 77 penghuni hilang tempat berteduh

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 31, 2022 10:39 MYT
Seramai 77 penghuni Rumah Panjang Rangsa Jimat di Nanga Meluan, Julau tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin. - Foto ihsan BBP Bintangor
BINTANGOR: Seramai 77 penghuni Rumah Panjang Rangsa Jimat di Nanga Meluan, Julau tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran awal pagi Isnin.
Rumah panjang 17 pintu itu dilaporkan musnah 100 peratus ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.05 pagi daripada salah seorang keluarga mangsa yang tinggal di Sarikei.
“Jarak lokasi dari balai bomba dianggarkan 60 kilometer dan mengambil masa satu jam,” kata Nicholas.
Menurutnya, penghuni rumah telah cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.
“Kebakaran dipercayai bermula dari pintu keenam sebelum merebak pantas," katanya lagi.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #Rumah Panjang Rangsa Jimat #Nanga Meluan #Nicholas Belulin
;