Rumah panjang 36 pintu musnah terbakar di Selangau
Rudi Affendi Khalik
Ogos 23, 2022 10:28 MYT
Ogos 23, 2022 10:28 MYT
SIBU: Sebuah rumah panjang musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Selangau, dekat sini, sekitar jam 6.50 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.58 pagi melibatkan Rumah Yamin di Batu 26, Jalan Sibu-Selangau.
"Bomba telah mengatur gerak dua jentera ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Selangau dan Sungai Merah, dengan kekuatan 15 anggota.
"Ketika ini, bomba masih melaksanakan kerja-kerja pemadaman dan overhaul.
"Pun begitu, laporan awal mengatakan rumah 35 pintu ini telah musnah 100 peratus," katanya.
Difahamkan, rumah panjang yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin itu, merupakan antara rumah panjang lama yang masih wujud di kawasan tersebut.