Rumah negeri di MAEPS bakal beroperasi sepenuhnya Ogos - Ismail Sabri
Bernama
Jun 2, 2015 10:51 MYT
Jun 2, 2015 10:51 MYT
Sebanyak 13 buah Rumah Negeri yang terletak di Taman Agro Pelancongan MAEPS dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Ogos ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kesemua rumah tersebut kini dalam peringkat pembaikan dan pengubahsuaian yang akan digunakan bagi tujuan mempromosi aktiviti, produk dan keluaran negeri masing-masing, kepada pengunjung yang datang ke taman itu.
"Kita mencadangkan kepada wakil kerajaan negeri untuk membuka rumah-rumah ini sekurang-kurangnya tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Agro Pelancongan MAEPS di sini hari ini.
Ismail Sabri turut menyarankan setiap rumah negeri untuk mempamerkan keunikan dan produk agro negeri masing-masing serta kebudayaan mereka untuk menarik kehadiran pengunjung ke tempat mereka.
"Persembahan seni dan masakan negeri yang dipamerkan di pavilion negeri-negeri tersebut juga secara tidak langsung akan mempromosi produk-produk dari negeri mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap satu jalinan kerjasama melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara kementeriannya, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dapat diwujudkan dalam menjadikan Taman Agro Pelancongan MAEPS sebagai destinasi agro pelancongan negara.
Katanya ini secara langsung akan mempertingkat dan memperluaskan peranan Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) yang sebelum ini hanya dibuka sekali dalam masa dua tahun iaitu pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Antarabangsa (MAHA).