Rumah Mampu Milik Pulau Pinang dikenali Rumah Mutiaraku mulai 2025
Bernama
November 27, 2024 05:15 MYT
November 27, 2024 05:15 MYT
GEORGE TOWN: Rumah Mampu Milik (RMM) di Pulau Pinang akan dikenali sebagai Rumah MutiaraKu (RMK) bermula Januari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo.
Beliau berkata penjenamaan semula itu bagi meningkatkan perasaan pemilikan rumah dalam kalangan penerima RMM dengan Rumah MutiaraKu diharap menjadi mahligai kepada bakal pemilik, seiring ungkapan rumahku syurgaku.
Selaras dengan pembentangan Belanjawan Pulau Pinang 2025 pada Jumaat lepas, beliau berkata kerajaan negeri telah menggariskan sasaran membina 220,000 buah RMM dalam Agenda Penang2030 di bawah sasaran pertama.
"Setakat 31 Okt, 51,680 RMM siap dibina, 22,456 sedang dibina dan 88,553 lagi dalam perancangan yang menjadikan keseluruhannya 162,689 unit atau 73.94 peratus daripada sasaran telah dicapai," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Sementara itu Sundarajoo berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang sedang menyediakan draf Peraturan Mineral Pulau Pinang, termasuk menjadikan peraturan dari negeri lain sebagai rujukan susulan penemuan unsur nadir bumi (REE) di beberapa kawasan di negeri ini.
"PTG juga telah mengutus surat kepada syarikat yang mengusahakan tapak perintis REE di Gerik, Perak untuk mengemukakan cadangan penerokaan REE di Pulau Pinang, namun syarikat berkenaan belum memberikan maklum balas.
"Bagaimanapun kerajaan negeri masih terbuka kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk ekplorasi REE dan akan mempertimbangkan cadangan yang memberikan lebih banyak manfaat kepada negeri," katanya.
Mengenai penemuan hidrokarbon di Pulau Pinang, Sundarajoo berkata Petronas sedang memproses data seismik dua dimensi (2D) yang baru diperoleh, dan proses itu dijangka siap awal tahun depan untuk mengenal pasti potensi.
Sebelum ini Petronas memaklumkan sedang menjalankan kaji selidik 2D berbilang pelanggan luar pesisir baharu di kawasan utara Selat Melaka untuk meneroka dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka. Lembangan Langkasuka terletak kira-kira 30 kilometer dari Pulau Pinang.
-- BERNAMA