Rumah Malaysia dilancarkan, jadi perhatian di WUF12
Astro Awani
November 5, 2024 18:20 MYT
November 5, 2024 18:20 MYT
KAHERAH: Pavilion negara yang diberi nama Rumah Malaysia di World Urban Forum (WUF12) Kaherah dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Isnin.
Ini merupakan sebahagian daripada komitmen Malaysia melalui penyertaannya dalam forum global yang dianjurkan oleh UN-Habitat selain menonjolkan nilai kemanusiaan Madani di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapan pembukaannya, Nga menekankan peranan penting nilai kemanusiaan dalam pembangunan lestari, yang mencerminkan aspirasi Malaysia di bawah kerangka Madani.
“Rumah adalah tempat di mana hati berada, di mana nilai-nilai dipupuk, dan di mana impian mula berakar. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi bandar-bandar kita, kita perlu memastikan bahawa ia juga tempat yang dapat kita panggil rumah,” katanya.
Ketika ini lebih daripada 76 peratus penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar dan angka ini yang dijangka mencapai 80 peratus menjelang 2030.
Sehubungan dengan itu Nga menekankan keperluan untuk bandar-bandar mencerminkan yang terbaik dalam budaya, kepelbagaian, kreativiti, dan ketahanan Malaysia.
“Adalah penting bahawa bandar-bandar kita mencerminkan yang terbaik dalam diri kita - budaya, kepelbagaian, kreativiti, dan ketahanan kita.
“Melalui semangat Malaysia Madani, kita berusaha untuk membangunkan masyarakat yang inklusif, progresif dan tahan lasak, dengan menekankan keadilan dan keterhidupan.
“Visi ini melangkaui infrastruktur fizikal; ia tentang mencipta komuniti di mana setiap orang merasakan rasa kekitaan dan mempunyai peluang yang sama untuk berkembang, memastikan kita tidak terperangkap dalam kisah dua bandar,” tambahnya.
Nga juga menerangkan komitmen kerajaan terhadap perancangan bandar yang berdaya tahan iklim, menyokong amalan bangunan hijau, dan memperkukuh dasar perumahan bagi memastikan tiada siapa yang tertinggal.
“Melalui inisiatif seperti Program Kediaman Rakyat, kerajaan komited untuk menyediakan perumahan yang mampu milik dan berkualiti, memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat yang boleh dipanggil rumah, tanpa mengira latar belakang atau tahap pendapatan mereka,” katanya.
Rumah Malaysia menampilkan 21 rakan pameran, termasuk Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, wakil sektor swasta, dan universiti terkemuka.
Forum ini dianggarkan menarik lebih 28,000 peserta dari 84 negara, menjadikannya platform penting untuk dialog global mengenai pembangunan bandar lestari.