Rumah kongsi terbakar, seorang lelaki rentung

Bernama
Ogos 3, 2017 09:43 MYT
Sebanyak 126 bilik sedang terbakar dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 3.30 pagi tadi. - Gambar hiasan
Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui rentung dalam kejadian kebakaran rumah kongsi pekerja 126 bilik di Batu 2, Jalan Lama, Bidor - Tapah, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Ridzuan Bahida Baharuddin berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.37 pagi tadi sebelum sepasukan anggota melibatkan enam anggota dari BBP Bidor dan 10 anggota dari BBP Tapah bergegas ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebanyak 126 bilik sedang terbakar dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.
"Bagaimanapun, semasa proses terakhir memadamkan bara-bara api, beberapa anggota telah menemui mayat seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh berumur lingkungan 30-an telah rentung terbakar,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ridzuan Bahida berkata operasi berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
--BERNAMA
#Bidor #bomba #kebakaran #mayat #rentung #Tapah
;