Rumah KM Pulau Pinang dibaling 'molotov cocktail'
Bernama
Ogos 31, 2014 08:48 MYT
Ogos 31, 2014 08:48 MYT
Kediaman Ketua Menteri Lim Guan Eng dibaling bom botol 'molotov cocktail' di Jalan Pinhorn di sini pada kejadian kira-kira pukul 11.48 malam ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kejadian membaling 'molotov cocktail' ke kawasan parkir rumah Ketua Menteri itu dipercayai dilakukan oleh penunggang motosikal.
Beliau berkata pemeriksaan forensik mendapati botol itu mengandungi minyak tanah dan ia telah meletup dan terbakar selepas dibaling tetapi tiada kecederaan dan kemusnahan dilaporkan.
"Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah Ketua Menteri akan dikaji untuk mengenal pasti suspek dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.