Rumah kedai terbakar, khianat mungkin punca

Astro Awani
Februari 22, 2015 15:48 MYT
Pihak bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki ke premis itu kerana asap tebal. - Astro AWANI
Sebuah rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Kimberly, Perangin Mall di sini awal pagi tadi.
Ketua Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Mohd Al Hafiz Asmuni berkata, dalam kebakaran jam 4.38 pagi itu, terdapat lima penghuni yang sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah kedai itu.
Namun mereka berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Mohd Al, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan bersama tiga jentera bomba dari Jalan Perak, Lebuh Pantai dan Bayan Baru dibantu oleh pasukan bomba sukarela dari Paya Terubong, Pulau Tikus dan Bukit Bendera.
Tambah beliau, pihak bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki premis itu kerana asap tebal.
Namun kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa sejam setengah kemudian.
Turut musnah sebuah lori dan jentera forklift milik mangsa.
Mohd Al berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari bahagian belakang kedai berkenaan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat.
Punca sebenar dan kerugian masih disiasat.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
#Jalan Kimberly #kebakaran #Mohd Al Hafiz #Perangin Mall #rumah kedai
;