Rumah Jalinan Kasih harap ihsan orang ramai untuk teruskan operasi
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 3, 2015 19:50 MYT
Februari 3, 2015 19:50 MYT
Peningkatan kos sara hidup ketika ini turut memberi kesan kepada rumah-rumah kebajikan dalam mengurus kehidupan harian penghuninya.
Lebih menyedihkan, ada sesetengah rumah kebajikan yang tidak mampu membayar sewa premis malah ada yang tertangguh sehingga setahun.
Astro AWANI meninjau dilema yang dialami pihak pengurusan rumah anak yatim Jalinan Kasih di Cheras.
“Jika ada pihak yang sudi membantu kami di sini bagi kami melanjutkan dan meneruskan semangat serta usaha yang saya rasa perlu untuk semua orang bantu (penghuni rumah anak yatim). Saya berharap kesinambungan itu akan berterusan bukan setakat membantu kami tapi demi anak-anak yang ada di sini,” kata pengetuanya, Norlelah Othman.
Perasaan sebak Norlelah sewaktu ditanyakan mengenai perkara tersebut bukan hanya menggambarkan cabaran dalam menguruskan rumah Jalinan Kasih malah ia sarat dengan ketidaktentuan terutamanya masa depan penghuninya.
Daripada 60 orang kanak-kanak dan remaja yang mendiami rumah itu, 20 daripadanya adalah kanak-kanak yang ditempatkan atas sebab penderaan, ditinggalkan penjaga dan terdapat juga beberapa ibu tunggal.
“Bagi saya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah beri mandat pada rumah ini, dan saya tidak mampu menolak untuk membantu mereka (penghuni rumah Jalinan Kasih), walaupun hakikatnya tempat kita amat terhad,” ujar Norlelah.
Meskipun demikian, bantuan yang diterima daripada orang awam sedikit sebanyak membantu meneruskan kelangsungan operasi rumah kebajikan tersebut.
“Kita (meneruskan) melalui sumbangan orang ramai. Saya sentiasa katakan kepada mereka (anak yatim), pandailah bersyukur. Alhamdulillah, mereka memahami. Setiap makanan yang disampaikan memang mereka makan, tidak pernah menolak atau memilih,” ujar sukarelawan Khairani Khalid.
Ahad lalu, sebuah majlis ramah mesra bersama penghuni rumah kebajikan tersebut telah diadakan anjuran Persatuan Bekas Pekerja Kilang Cheras Jaya, Balakong.
Pada majlis itu, persatuan tersebut turut menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggungn pihak pengurusan dan penghuni rumah kebajikan berkenaan.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi pengetua rumah Jalinan Kasih atau menyampaikan sumbangan ke akaun CIMB 12080003493208.
Bagi sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, talian 012-360 0276 boleh dihubungi.