Rumah ibadat bukan Islam dibenar beroperasi sepanjang PKP

Fauzi Suhaimi
Februari 13, 2021 17:52 MYT
Operasi itu tertakluk kepada beberapa SOP tertentu termasuk kehadiran tidak melebihi 30 orang dalam satu-satu masa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk membenarkan operasi rumah ibadat bukan Islam (RIBI) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 12 hingga 18 Februari ini.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bagaimanapun operasi itu tertakluk kepada beberapa prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk kehadiran tidak melebihi 30 orang dalam satu-satu masa.
"Selain itu, RIBI perlu menjalankan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti keagamaan atau sembahyang.
"Penggunaan aplikasi MySejahtera bagi tujuan merekod di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang luas.
"Pengecualian imbasan kod apilikasi itu diberikan kepada penganut yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai telefon pintar," menurut kenyataan itu.
Berikut merupakan jadual waktu sembahyang/aktiviti keagamaan di RIBI:
1- Tokong Buddha, tao, wat siam dan gereja - Bermula 6 pagi hingga 2 petang
2- Kuil Hindu
- Sesi 1 - 6 pagi hingga 10 pagi
- Sesi 2 - 5 petang 9 malam
3- Gurdwara - Bermula jam 6 pagi hingga 9 pagi
Dalam pada itu, KPN menasihati semua penganut di seluruh negara agar mematuhi SOP bagi memastikan tiada penularan wabak dalam kalangan penganut-penganut dan bersama-sama membudayakan norma baharu untuk memutuskan rantaian COVID-19.
#aktiviti keagamaan #COVID-19 #telefon pintar #Islam #SOP #perintah kawalan pergerakan #operasi #Rumah Ibadah Bukan Islam #Hindu #Buddha #PKP #perpaduan
;